saya tertarik dgn artikel di Utusan Malaysia yang bertarikh 30/10/2011 baru-baru ini..
SELAIN India dan China, Indonesia turut tersenarai sebagai antara negara paling ramai penduduk. Kalau datang ke Indonesia, pergi saja ke mana ceruk atau pelosok, anda akan sentiasa bertembung dengan ramai orang.
Berdasarkan laporan Badan Kependudukan dan Keluarga Berencana Nasional (BKKBN) Indonesia pada Julai lalu, jumlah penduduk negara itu sudah mencecah lebih 241 juta orang. Seandainya, pertumbuhan berkenaan tidak dikawal dengan pendekatan yang konkrit, jumlah penduduk dijangka menjadi 450 juta orang pada 2045.
Petanda itu membawa maksud bahawa bila sampai masanya kelak, seorang daripada 20 penduduk dunia merupakan orang Indonesia. Ketika itu, anda sendiri boleh membayangkan betapa padatnya setiap inci tanah negara bekas jajahan Belanda itu.
Jumlah itu harus diakui sebagai sangat besar dan seandainya kawalan tidak dimulakan sekarang, ia akan mengundang lebih banyak masalah sosial lain. Hal ini disedari oleh pemerintah Indonesia sendiri yang tidak pernah berhenti melaksanakan pelan pembangunan kependudukan dan Keluarga Berencana (KB).
Matlamatnya untuk mengawal kependudukan di Indonesia untuk masa depan supaya generasi yang dilahirkan untuk mewarisi kedaulatan negara ini terdiri daripada rakyat yang berkualiti.
Berdasarkan pelan terbaru pemerintah Indonesia, khabar terbaru yang diumumkan ialah kaum lelaki disarankan mengambil perancang keluarga. Benar, kaum lelaki di Indonesia tidak lama lagi perlu mengambil pil perancang keluarga seperti mana kaum wanita untuk sama-sama membantu kerajaan mencegah kehamilan.
Kalau selama ini, penggunaan kondom dikatakan paling berkesan untuk menghalang pertumbuhan keluarga, pengenalan pil KB Gandapura dijangka mengambil alih fungsi berkenaan.
kenyataan
Berdasarkan kenyataan BKKBN, pengenalan pil kontrasepsi khusus itu akan meningkatkan penyertaan kaum suami dalam merancang keluarga.
Pelan perancangan keluarga yang dikendalikan selama ini menyaksikan hanya kaum wanita yang komited dalam memastikan perancangan itu mencapai matlamat. Namun kali ini, kaum lelaki pula menerima 'hukumannya' menerusi pengenalan pil tersebut.
Untuk memastikan langkah itu dapat dilaksanakan, agensi berkenaan bekerjasama dengan Universiti Airlangga, Surabaya meneliti tanaman Gandarusa untuk menambah kepelbagaian alat kontrasepsi bagi lelaki.
BKKBN menegaskan, pengenalan program itu bukanlah bertujuan mengganggu kejantanan kaum lelaki.
Matlamat utama adalah untuk mengawal kelahiran sekali gus meningkatkan kualiti keluarga di Indonesia.
Kemajuan dunia perubatan sebetulnya juga, tiada lagi istilah 'termengandung' yang biasa dijadikan alasan wanita setiap kali hamil. Pelbagai kaedah merancang keluarga yang selamat, berkesan, mudah diguna, tiada kesan sampingan dengan kadar kos berpatutan mudah didapati.
Sama ada kaedah itu bersifat sementara atau kekal, perancangan keluarga sebenarnya bermanfaat untuk kesihatan ibu dan anak serta memberi kesejahteraan kepada keluarga secara keseluruhannya.
Jika masyarakat dahulu menggunakan kaedah tradisional seperti memakan air rebusan akar kayu atau jamu untuk mengelak hamil, kemunculan pil kontrasepsi dan kondom turut memberi 'kelegaan' bagi pasangan yang ingin merancang keluarga.
Daripada kajian badan berkenaan juga, penyertaan kaum suami dalam program KB di Indonesia masih relatif lebih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lainnya seperti China dan Thailand yang sudah mencapai rata-rata 10 hingga 15 peratus.
Sementara di Vietnam pula, penyertaan kaum lelaki dalam KB melalui pemakaian kondom dan vasektomi sudah mencapai melepasi 20 peratus. Mahu tahu jumlah peratus penyertaan lelaki di Indonesia dalam program berkenaan?
Khabarnya, komitmen mereka untuk memengurangkan pertambahan penduduk Indonesia sekitar tiga peratus sahaja.
"Dengan pengambilan pil KB Gandapura khusus untuk lelaki diharapkan penyertaan kaum suami semakin meningkat," kata Ketua Perwakilan BKKBN Sumatera Utara, Nofrizal. Selain penggunaan kondom, kaum lelaki juga menggunakan kaedah vasektomi atau kasi.
Indonesia tentunya juga menyedari bahawa lelaki memainkan peranan penting dalam menyuburkan pertumbuhan penduduknya.
Ini kerana, suami merupakan ketua keluarga yang akan menentukan aspek merancang keluarga.
Kaum isteri pula lazimnya hanya menurut kata suami. Kalau suami mahu menambah bilangan keluarga, tidak mungkin si isteri sewenang-wenangnya membantah.
*dicopy paste dr laman web utusan malaysia online : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1030&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_12.htm&arc=hive